Mempercayai seseorang
bukanlah mudah sebenarnya. Jika baru mengenalinya tentu perasaan sangsi akan
timbul dari sanubari. Ada juga yang sudah lama mengenali tapi masih juga belum
mempercayai. Dalam satu perhubungan, tidak wajar sekiranya kamu masih tidak ada
kepercayaan terhadap si dia. Walaupun mungkin kamu tidak akan mempercayai si
dia seratus peratus, tapi tak salah kalau kamu meletakkan anggaran dibawah 70
peratus keyakinan kamu terhadapnya. Tapi mudahkah kamu melakarkan kepercayaan
terhadap si dia? Sebenarnya ada faktor-faktor yang boleh menimbulkan
kepercayaan.
Faktor 1 – Konsisten
Kamu mempercayai apa
yang dilihat dan didengar tanpa syak wasangka. Bagi kamu apa yang dibicarakan
tidak perlu disangsi kerana ianya ada kebenaran serta boleh mendatangkan
kebaikan dalam perhubungan kamu. Tapi berhati-hatilah kerana mungkin dengan
cara ini si dia boleh menjerat kamu. Siapa tahukan!
Faktor 2 – Boleh dikawal
Perkara-perkara yang
bagi kamu adalah konsisten membuatkan kamu boleh menganggap adakah si dia boleh
dikawal ataupun tidak. Contohnya, si dia akan datang tepat pada waktu yang
dijanjikan dan boleh menerima pendapat kamu. Maknanya kamu boleh mengawal dirinya
dari melakukan perkara yang tidak kamu sukai. Bukanlah bermakna kamu boleh
mengongkongnya tetapi jika si dia menuruti kehendak kamu ini bermakna si dia
mempercayai kamu dan tidak ragu-ragu dengan cara kamu.
Faktor 3 – Komitmen
Komitmen bukanlah
sekadar menepati janji, tapi juga menghargai perjanjian yang telah dipersetujui
bersama. Jika kamu ataupun si dia berani berkomitmen dan bersungguh-sungguh
dalam perhubungan , tentu saja perhubungan kamu ceria dan aman. Sikap saling
mempercayai yang wujud dalam diri masing-masing akan mewarnai lagi perhubungan
kamu itu. Malah ianya akan membuatkan si dia lebih yakin dengan kejujuran kamu
terhadapnya. Jadi tiada alasan untuk si dia berlaku curang terhadap kamu.
Faktor 4 – Kejujuran
Kejujuran memang perlu
untuk menjamin sebuah perhubungan yang bahagia. Kamu juga tidak patut
menyembunyikan perkara-perkara yang sepatutnya diketahuinya. Jika kamu dan si
dia jujur , ini membolehkan kamu berdua tidak takut untuk berbahas kerana
berpendapat ianya juga untuk kebaikan bersama. Walaupun adakalanya tercetus
pertengkaran kecil kerana masing-masing ingin mengutarakan pendapat sendiri,
tetapi akhirnya mengambil keputusan untuk memilih pendapat yang terbaik demi
menjamin perhubungan yang stabil.
Faktor 5 – Terima seada-adanya
Kunci keintiman dalam
suatu perhubungan adalah menerima seadanya baik buruk pasangan kamu. Bila hati
sudah suka dan sayang, tentu saja kamu sanggup menerimanya walaupun menyedari
tentunya ada perkara-perkara negatif tentangnya. Namun begitu, tentunya kamu
dan si dia berusaha untuk berubah jika terdapat sikap-sikap yang tidak
disenangi hingga boleh menjejaskan perhubungan. Usaha kamu dan si dia ini
menampakkan kesungguhan yang amat ketara demi menjamin perhubungan.
Faktor 6 – Perlu dimengertikan
Sebahagian besar
individu menginginkan pasangan yang tidak hanya mendengar pendapat sebelah
pihak. Malah harus bijak mengutarakan pendapat sendiri. Kamu juga tentunya
berharap agar si dia mengerti tentang pandangan kamu terhadap pelbagai perkara.
Jika tidak, mungkin perhubungan hanya mendatar saja. Bukan itu saja, kemarahan
juga boleh timbul ekoran perasaan yang tidak dimengertikan dan menganggap diri
kamu tidak dihargainya.
Faktor 7 – Simpati
Simpati adalah usaha
untuk memberikan pengertian yang lebih mendalam, seakan berusaha menempatkan
diri kita di dalam emosi si dia. Sebenarnya tidak mudah melakukan perkara ini.
Tapi bila dapat menimbulkan simpati, kebanyakan pasangan mampu mengatasi
perkara-perkara yang boleh menimbulkan pertengkaran dan perselisihan pendapat
kerana memahami sesuatu yang boleh mengganggu hubungan.
Faktor 8 – Diyakini
Bila rasa yakin, kamu
boleh memberi pandangan bersama si dia. Baik dalam hal-hal remeh temeh
hinggakan ke perkara yang serius. Kamu akan merasa si dia bukan saja mendengar
malah akan menyimpan rahsia kamu. Apa yang penting kamu juga harus mengetahui
dan berkeyakinan adakah si dia memang boleh menyimpan rahsia ataupun tidak!
Faktor 9 – Perbezaan pendapat
Memanglah tak dapat lari
dari perbezaan pendapat antara kamu dan si dia. Mereka yang berusaha terlalu
keras untuk menyangkal atau takut mengakui bahawa dirinya berbeza pendapat
dengan pasangannya selalunya seorang yang tidak berani menghadapi kenyataan.
Tak mungkin akan selalu sama pendapat sebaliknya mampu berkompromi untuk
menunjukkan kedewasaan masing-masing.
Faktor 10 – Elakkan dendam
Cinta sejati akan
diwarnai oleh pengertian dan rasa untuk dimaafkan. Kerana dendam boleh menjadi punca
kehancuran sesebuah perhubungan. Walaupun pernah dilukai, namun perasaan dendam
ataupun membalas balik mungkin tidak akan terlintas dalam fikiran. Bagi diri
kamu, mungkin berdendam bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik malah ianya
akan memburukkan lagi keadaan. Oleh sebab itulah kemaafan adalah perkara yang
terbaik untuk menjernihkan suasana.
Faktor 11 – Berfikiran terbuka
Banyak pasangan
merasakan tidak perlu untuk mengungkapkan secara lisan apa yang ada dibenaknya.
Walaupun hakikatnya perkara itu sangat penting dan perlu disampaikan secepat
mungkin bagi menggelakkan perkara yang tidak diingini akan berlaku. Oleh sebab
itulah, jalan yang terbaik ialah setiap individu harus berfikiran terbuka.
Bukannya harus menerima pendapatnya tanpa perlu berfikri panjang sebaliknya
kita harus mendengarnya dahulu dan barulah membuat keputusan. Tak semestinya
apa yang dikatakan tidak elok begitu juga sebaliknya.
Faktor 12 – Tulus dan jujur
Ketulusan dan kejujuran
memainkan peranan yang penting dalam sesebuah perhubungan. Bukan saja dari segi
perbuatan malah juga percakapan. Apa yang ingin disampaikan haruslah dengan
niat sejujur yang mungkin dan bukanlah hanya untuk melindungi kesilapan.
Pilihlah kata-kata yang sedap didengar dan senang dimengertikan. Melalui komunikasi,
kita juga boleh menangkap adakah si dia jujur dan tulus ataupun sebaliknya.
Faktor 13 – Tak selalu didampingi
Bukan semua orang
sukakan kekasihnya sentiasa disisi. Ada juga yang inginkan sedikit kebebasan
dan asal bijak mengawal diri itu sudah cukup memadai. Apa yang penting, jika si
dia tidak menemani kamu, jangan pula berfikir yang bukan-bukan dan mulalah
menganggap yang si dia sengaja mahu mengabaikan kamu. Singkirkan perasaan ini
kerana ini bukanlah niatnya sebaliknya ingin memberikan kamu sedikit ruang
untuk menjalani aktiviti sendiri.
Faktor 14 – Jauh di mata dekat di hati
Saat terpisah dek jarak
yang jauh sebenarnya banyak mengajar kita erti rindu yang sebenar. Walaupun
tempohnya agak lama, haruslah mempercayai jarak dan waktu tersebut tidak akan
memisahkan diri kamu dan si dia. Perasaan ini harus wujud walaupun tidak selalu
dapat bersua namun perasaan saling merindu dan menyayangi akan menguatkan lagi
perhubungan kamu itu. Apapun teguhkan hati dan pendirian kamu bahawa hanya
cinta si dia sahaja yang bertakhta di hati.
Faktor 15 – Persamaan
Persamaan antara kamu
berdua akan menguatkan lagi rasa cinta bila masing-masing yakin bahawa hubungan
itu diimbangkan dengan prioriti utama. Jangan hanya mementingkan hak seorang
diri saja dan haruslah mengambil berat tentang kedua belah pihak. Sebenarnya
kamu berdua saling memerlukan antara satu sama lain untuk memastikan
keseimbangan dalam perhubungan.
Faktor 16 – Tak saling menyalahkan
Tak selalu hubungan yang
terjalin berjalan lancar dan adakalanya ia akan bergegar jua. Hubungan cinta
yang lancar haruslah tidak dilandasi sikap saling menyalahkan. Apa yang terjadi
merupakan interaksi dari dua pihak yang memiliki kebebasan mengeluarkan pendapat
dan keinginan yng berbeza. Menyalahkan antara satu sama lain bukanlah boleh
menyelesaikan masalah sebaliknya akan menjejaskan lagi hubungan. Keegoan
mungkinlah penyebab mengapa kamu dan si dia saling menyalahkan antara satu sama
lain.
Faktor 17 – Hormat-menghormati
Saling
hormat-menghormati adalah dasar perhubungan yang positif. Kamu harus
menghormati si dia dan begitu juga sebaliknya. Tapi jangan kerana terlalu
menghormatinya hinggakan kamu berasa amat segan dengannya. Ini akan mendorong
rasa malu dan segan untuk meluahkan apa yang kamu pendamkan dan membuatkan
hubungan kamu sukar untuk berkembang. Oleh sebab itulah kamu perlu membatasi
rasa hormat dan segan terhadap si dia.
Faktor 18 – Penghargaan
Tidak salah sekiranya
kamu menghargai si dia. Bukannya hendak menyanjung tinggi ataupun terlalu
memuja dirinya. Tetapi biarlah sekadar si dia tahu yang kamu amat mengharagi
kasih dan dirinya. Caranya? hanya kamu saja yang tahu bagaimana kerana lain
orang lainlah caranya. Apapun kalau kamu memang sayangkannya, jangan segan silu
untuk menunjukkan perasaan kamu serta jangan lupa harga perasaan dan dirinya.
Faktor 19 – Bukan materialistic
Bayangkanlah kalau kamu
seorang yang materialistik? Mesti kekasih kamu pokai dibuatnya. Mana taknya
kalau kamu minta yang bukan-bukan. Dalam perhubungan, jangan sesekali kamu
menjadikan wang sebagai punca utama mengapa kamu memilih si dia. Jika ianya
terjadi, hubungan kamu mungkin sukar bertahan lama dan membuatkan si dia akan
berprasangka terhadap kamu.
Faktor 20 – Perancangan bersama
Manusia hanya mampu
merancang tapi Tuhan yang menentukan segalanya. Tapi ada bagusnya kalau kamu
dan si dia merancang sesuatu untuk menjamin kebahagian. Tentunya kamu sendiri
inginkan yang terbaik demi masa depan bersama. Bukan mudah untuk mencipta
kebahagiaan dan mengecapi kegemilangan dalam perhubungan. Pastinya semua
mengimpikan sesuatu yang indah dalam perhubungan. Begitu juga kamu bukan? Apa
perancangan kamu agaknya ye?
No comments:
Post a Comment