Dahulu kala, langit dan laut saling jatuh cinta.
Mereka saling menyukai di antara satu sama lain. Oleh sebab sangat sukanya laut
terhadap langit, warna laut sama dengan warna langit. Oleh sebab sangat sukanya
langit terhadap laut, warna langit sama denga warna laut. Setiap senja
datang, si laut dengan lembut sekali membisikkan kata-kata `Aku Cinta Padamu’
ke telinga langit. Setiap kali langit mendengar bisikan penuh cinta laut
terhadapnya, langit tidak menjawab apa-apa , hanya tersipu-sipu malu dengan
wajah kemerah-merahan. Suatu hari, datanglah awan. Melihat kecantikan si
langit, awan terus jatuh hati terhadap langit, bak cinta pandang pertama.
Tetapi tentu sahaja langit hanya setia mencintai laut. Setiap hari, langit
hanya mahu melihat laut sahaja. Awan berasa sedih tetapi ia tidak berputus asa
mencari cara dan akhirnya mendapat satu akal. Awan mengembangkan dirinya seluas
dan sebesar mungkin serta menyusup ke tengah-tengah di antara langit dan laut.
Ia berusaha menghalangi pandangan langit dan laut terhadap satu sama lain. Laut
berasa marah kerana tidak dapat melihat langit. Laut mengeluarkan gelombangnya
bagi mengusir awan yang mengganggu pandangannya. Tetapi tentu sekali usahanya
tidak berhasil. Lalu datanglah angin yang sejak dulu mengetahui hubungan cinta
langit dan laut. Angin berasakan perlu membantu langit dan laut menyingkirkan awan
yang mengganggu perhubungan mereka yang sekian lama terjalin. Dengan
tiupan keras dan kuat, angin meniup awan. Lantas terpecah-pecahlah awan menjadi
berselerak ke banyak bahagian, sehingga ia tidak berupaya lagi melihat langit
dengan jelas dan tidak mampu lagi untuk mengungkapkan perasaannya terhadap
langit. Kerana rasa terseksa menanggung perasaan cinta yang menggunung tinggi
terhadap langit, awan menangis sedih. Hingga sekarang, kasih antara
langit dan laut tidak dapat dipisahkan. Kita juga dapat melihat di mana mereka
menjalin kasih. Setiap kali memandang ke hujung laut, di mana ada garisan
horizon yang menemukan langit dan laut, di situlah mereka sedang berpacaran.
No comments:
Post a Comment